Wednesday, December 02, 2009

Musafir Perjuangan

Salam buat semua.

Alhamdulillah, selamat tiba di perlembahan Nil seawal jam 6 pagi (waktu Mesir). Kedinginan subuh begitu menyegarkan tubuh dan minda. Saya kembali semula ke bumi yang penuh dengan tarbiyah ini. Kembali berpencak di gelanggang mahasiswa. Kembali menadah mutiara hikmah pewaris anbia’. Kembali dengan semangat dan azam yang baru. Moga semangat berlandas kefahaman ini tak lebur ditelan waktu.

Perjuangan dan pengorbanan. Dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Semestinya perjuangan menuntut pengorbanan. Pengorbanan harta, jiwa dan perasaan. Berhabisan wang dan ringgit untuk sesuatu yang lebih berharga. Berpisah dan berjauhan dengan yang tersayang pasti menjadi suatu kelaziman bagi yang ingin berjuang. Moga pengorbanan ini mengandungi hikmah yang tersendiri.

Bumi Kinanah. Bumi penuh barakah. Saya kembali demi menghilangkan kejahilan diri. Masih banyak ilmu pertahanan diri yang perlu saya hadami. Jua masih banyak tanggungjawab yang perlu saya lunasi. Moga segala derap langkah di iringi nusrah Ilahi.

Selamat meneruskan sesi pengajian dan pentarbiyahan di bumi anbia’ ini. Terus berjuang dan berkorban demi Islam tercinta. Salam juang tanpa noktah…

p/s : Allahumma faqqihna fiddin...

Thursday, November 19, 2009

Siapa Mahu Cemerlang?

Malam ini, akan diadakan satu program motivasi dibawah kelolaan lajnah pendidikan BKASM yang bertemakan "AIM HIGH WORLD CLASS". Tidak kisahlah apapun definisi yang diberikan, apa yang pasti hadaf program ini dilaksanakan adalah untuk menyuntik semangat dan menyemarakkan ruh jihad cintakan ilmu kepada para mahasiswa/wi dalam memotivasikan diri mengutip mutiara-mutiara hikmah di ardhil kinanah...

Saya tidak pasti apakah pengisian yang dibentangkan oleh ahli panel terpilih pada malam ini disebabkan saya tidak berpeluang untuk turut serta(kerana berada di Malaysia). Namun, ingin juga saya bicarakan sedikit sebanyak mengenai tajuk ini.

CEMERLANG. Ya. Semua orang ingin cemerlang. Namun, apakah ukuran kecemerlangan yang sebenar? Adakah perlu untuk menamatkan pengajian ke peringkat phD untuk dikategorikan sebagai cemerlang? Ataupun cukup sekadar memiliki ijazah sarjana disertakan bersama pakej kerjaya yang hebat? Ayuh, marilah kita memperluaskan konteks kecemerlangan itu sendiri.

Selaku mukmin, pastinya kita mengharapkan kecemerlangan dunia dan akhirat. Kejayaan yang bukan hanya diukur melalui segulung ijazah bahkan lebih dari itu. Cukup untuk saya nyatakan kejayaan hakiki adalah bilamana kita mampu menjadi hamba hakiki kepada Pencipta alam ini.Cemerlang akhlak, syakhsiah diri, peribadi, rohani dan seumpamanya. Kita sedia maklum, orang yang paling mulia adalah mereka yang paling bertaqwa. Tidak dinyatakan disitu orang yang paling mulia adalah mereka yang paling tinggi ijazahnya. Nah, kita mampu menilai, usah terlalu memandang tinggi pada kejayaan duniawi lantas membiarkan aspek ukhrawi terus dipandang sepi.

Seorang mukmin yang berjiwa besar perlu sedar bahawa dia tidak perlu mengharap orang lain untuk memotivasikan dirinya bahkan perlu bijak dalam memotivasikan diri sendiri. Dan, motivasi yang terbaik bagi seorang mukmin adalah Al-Quran itu sendiri. Kalam Tuhan yang begitu sempurna. Menghadaminya akan merungkaikan segalanya. Saya juga mengira bahawa mereka yang ingin menjadi seorang yang CEMERLANG juga perlu menghadam lumat 10 ciri individu muslim yang dibawa oleh AsSyahid Imam Hassan Al Banna sebagai asas kekuatan dan keampuhan diri.

Dunia hari ini menilai, majunya kehidupan dengan pembangunan. Berjayanya insan dengan pangkat dan jawatan. Hasilnya, runtuhlah nilai-nilai kemanusiaan, terpadam rasa kehambaan dan dipisahkan kemodenan daripada Islam. Pembangunan insan dipandang enteng, maka terbentuklah suatu institusi masyarakat yang cukup mengharu-birukan dek kerana pupusnya elemen tarbiyah dari jadual kehidupan.

Inikah kecemerlangan dunia yang dicari..??? Ya. Inilah hasil yang dituai daripada semaian pimpinan-pimpinan yang mendaulatkan undang-undang sekular dalam mengejar kecemerlangan dengan motonya "CEMERLANG,GEMILANG DAN TERBILANG".

Kembalilah menilai dimana harusnya diletakkan erti kata kecemerlangan yang sebenar. Islam ada jawapannya. Terus memandang sesuatu yang lebih jauh......cemerlang di negeri abadi. Bagaimana mempersiapkan diri?? Tanyalah iman dihati.

p/s : mukmin itu jiwanya besar...

NOTHING

TOYOTA INNOVA

Kereta idaman..???

Hehe.

Taklah.

Saje publish kat sini.

OK.

Dunia ditangan bukan dihati.

Allahua'lam.

Monday, November 16, 2009

Sanah Helwah,Akhi...

16 November. Selamat hari ulangtahun kelahiran buat adinda tersayang, Mohd Amirul Hidayat Ali yang ke-16 tahun. Cepat rasanya masa berlalu. Namun, kita masih lagi belum punya kesempatan untuk bertemu lantaran waktu yang tidak mengizinkan. Didoakan sentiasa moga berada didalam lindungan dan peliharaan Allah swt, dimudahkan laluan dalam perjalanan kehidupan, diperkenankan segala hajat dan impian dan moga dapat menabur jasa dan bakti untuk Islam tercinta...Moga jadi anak soleh...Thanx for being my very best brother..I'm waiting for you!!!

Buatmu adikku...
Semoga..
Dewasa ini mematangkan dirimu,
Lebih memahami tujuan kehidupan
Yang diciptakan sebagai ujian
Buat insan sebagai tapisan
Siapakah yang tinggi iman.
Kesusahan dahulu mendidik jiwa
Usah bergantung pada manusia
Kerana DIA bersama kita
Tingkatkan taqwa kerna itulah nilaianNya
Mogakan bahagia disana.....

Walimah Lagi...


Bulan November. Banyak jemputan walimah yang diterima. Rata-ratanya daripada sahabat-sahabat yang sama-sama menuntut di sekolah menengah dahulu(SMIP). Ada undangan yang dapat dipenuhi, begitu juga sebaliknya. Gembira dapat bertemu teman-teman lama..Masing-masing sudah punya laluan tersendiri. Apapun, moga ukhuwwah kita terus utuh. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah buat Ust Muizz Muhammad dan pasangan dan juga Ukhti Siti Fauziah Miskan dan pasangannya, Ahmad Iskandar Dzolhaj yang telah selamat diijabkabul. Moga diberkati Allah dan berbahagia hingga ke akhir hayat...Bakal menyusul selepas ini, Ukhti Fizura bersama pasangannya Mohd Hanafi Norza. Moga dipermudahkan segala urusan...Mudah-mudahan dapat membina baitul muslim yang cemerlang agar dapat melahirkan generasi yang gemilang...

p/s : bersua teman-teman lama mengingatkan kepada kenangan-kenangan lama yang berharga...

Sunday, November 15, 2009

WARKAHMU BERBALAS!

Jawapan daripada Imam Hasan Al Banna...
Imam al Banna menulis,

Saudaraku,
Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

Saya telah membaca suratmu dan sangat terpengaruh oleh kejujuran bahasamu, keindahan keberanianmu, lembutnya kesedaranmu dan hidupnya hatimu.

Saudaraku, engkau bukan orang yang hatinya mati seperti yang engkau kira. Akan tetapi, engkau adalah seorang pemuda yang perasaannya tajam, jiwanya bersih dan nuraninya lembut. Seandainya tidak bersifat demikian, tentulah engkau tidak menuduh dirimu dan tidak engkau ingkari perasaanmu. Akan tetapi besarnya semangat dan jauhnya tujuan, membuatmu menganggap kecil urusanmu yang besar dan engkau mengharapkan tambahan untuknya. Tidak ada masalah dalam hal itu dan memang itu harus terjadi.

Saya merasakan apa yang engkau kira, saya berjalan sebagaimana engkau berjalan dan saya akan berusaha untuk mengajukan beberapa nasihat. Jika nasihat-nasihat tersebut bermanfaat bagimu dan dengan melaksanakannya engkau dapat menghapus dahaga serta mengubati sakitmu, maka Alhamdulillah..atas taufiqNya. Namun jika tidak demikian, maka saya senang untuk bertemu denganmu agar kita saling bekerjasama untuk menganalisis penyakit dan mencari ubatnya.

Berteman dengan orang-orang khusyuk yang selalu merenung, bercampur dengan orang –orang yang selalu berfikir dan menyendiri, dekat dengan orang-orang yang bertaqwa dan soleh, yang dari mereka terpancar hikmah dan dari wajah mereka terpancar cahaya, dan hati mereka bertambah dengan ma’rifat-dan jumlah mereka adalah sedikit-adalah ubat yang mujarab. Berusahalah berteman dengan orang-orang seperti mereka, selalu bersama mereka, kembali kepada mereka dan engkau sambung ruhmu dengan ruh mereka, jiwamu dengan jiwa mereka serta engkau habiskan kebanyakkan waktu kosongmu bersama mereka. Hati-hatilah dari orang yang ‘mengaku-ngaku’. Carilah orang yang kondisinya membuatmu bangkit, perbuatannya membawamu berbuat baik dan jika engkau melihatnya maka engkau mengingat Allah.

Berteman dengan orang-orang seperti ini adalah salah satu ubat yang paling mujarab, kerana watak manusia sering mencuri, sehingga hati terpengaruh oleh hati dan jiwa pun mengambil dari jiwa. Oleh kerana itu, berusahalah untuk menemukan jiwa-jiwa yang soleh sebagai teman.

Saudaraku..Berfikir, berzikir di waktu-waktu yang bersih, menyendiri, bermunajat, merenungi alam yang indah serta menakjubkan, menggali rahsia keindahan dan keagungan dari alam, meneliti dengan hati dan berzikir dengan lisan tentang pengaruh keagungan yang mencengangkan serta hikmah yang agung ini, termasuk hal yang memberi kehidupan kepada hati dan menyinari relung hati dengan keimanan dan keyakinan. Allah swt berfirman, ( Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal ) Ali Imran : 190

Saudaraku, selanjutnya berfikir tentang masyarakat, melihat berbagai penderitaan, kebahagiaan, kesulitan dan kemakmuran, serta menjenguk orang yang sakit, menghibur orang-orang yang tertimpa bencana dan mengenali sebab-sebab kesengsaraan yang berupa pembangkangan, kekafiran, kezaliman, pelanggaran, sikap mementingkan diri sendiri, egois, terpedaya oleh hal-hal yang semu, semua ini merupakan sentuhan bagi dawai-dawai hati yang menyatukan cerai-berainya dan menghidupkannya dari kematian. Maka berusahalah agar keberadaanmu menjadi penghibur bagi orang-orang yang sengsara dan tertimpa bencana. Tidak ada hal yang pengaruhnya lebih kuat terhadap perasaan dari berbuat baik kepada orang-orang yang sangat memerlukan, membantu orang-orang yang teraniaya atau membagi rasa dengan orang yang susah dan sedih.

Saudaraku, hati ada di tangan Allah. DIA merubahnya sesuai kehendakNya. Oleh kerana itu, bersungguh-sungguhlah dalam berdoa, agar DIA memberikan kehidupan kepada hatimu, membuka dadamu dengan iman dan melimpahkan keyakinan kepadamu sebagai anugerah serta nikmat dariNya. Berdoalah di waktu-waktu mustajab dan waktu-waktu sahur. Kerana doa di waktu sahur adalah anak panah yang meluncur yang tidak berhenti sampai ke ‘Arasy. Saya tidak meragukan keikhlasanmu dalam mencapai tujuan dan kejujuran dalam pengakuanmu.

Allah swt berfirman, (Sesungguhnya Allah hanya menerima(korban) dari orang-orang yang bertaqwa). Al-Maidah : 27



p/s : slalu check hati kita...

Saturday, November 14, 2009

SURAT LELAKI TANPA HATI

Ini adalah surat seorang pemuda kepada As-Syahid Imam Hasan Al Banna...

Yang terhormat Ustaz Hasan Al Banna,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Apakah anda pernah mendengar tentang lelaki tanpa hati? Maaf, jika hati yang dimaksud adalah salah satu anggota tubuh dari daging yang berwarna merah, yang menarik dan melepaskan darahnya, tentu saja lelaki itu memilikinya. Yang dengannya dia dapat hidup dan menjalani kehidupannya. Akan tetapi hati yang bersemangat, kuat dan hidup, sayang sekali dia tidak memilikinya.

Dia mengetahui kebaikan meskipun kecil, dia juga mengetahui tempat-tempat keburukan meskipun samar-samar.

Seringkali dia merasa benar jika membaca perilaku seseorang dari wajahnya dan dia juga dapat memberi isyarat akan hal itu. Akan tetapi, dia tidak memiliki hati. Jika bertemu teman lamanya yang tidak bersua, dia menyalaminya dan menggenggam tangannya dengan kuat, bahkan memeluknya. Namun hatinya tetap beku, sama sekali tidak terpengaruh. Dia memberi nasihat kepada orang lain, “Jadilah kalian begini dan jadilah kalian begitu,” serta menyebutkan berbagai dalil dan alasan, namun hatinya semakin keras dan tidak terpengaruh.

Dia tersenyum kala menerima berita gembira. Dia juga mengerutkan dahi saat menerima berita duka. Akan tetapi, kegembiraan dan kesedihannya hanyalah reaksi alami, sedangkan hatinya tetap diam dan tidak tergoncang.

Dia menyatakan cinta dan benci kepada seseorang. Ketika melihat hatinya, hatinya tetap diam tanpa memberi penjelasan.

Dia berdiri menunaikan solat dan berusaha khusyuk, membaca Al-Quran dan berusaha memusatkan perhatiannya. Ketika menunaikan solat, membaca bacaan dengan nada-nadanya, sehingga orang-orangpun berkata, “Dia memang seorang yang khusyuk”. Akan tetapi, ketika meraba hatinya, dia mendapatinya tuli dan tidak khusyuk, walau memahami apa yang dibaca.

Ini adalah gambaran yang sebenarnya terjadi pada hati lelaki tersebut. Saya tidak melebihkan atau menguranginya. Menurut anda, apakah anda dapat mengatakan bahawa hatinya sama seperti hati orang-orang pada umum-umumnya?

Saya dianugerahi akal, tetapi hati saya hilang. Saya merasakan fikiran saya menyala-nyala, bekerja, hidup dan menunjukkan keberadaannya. Akan tetapi, ketika saya ingin merasakan hal itu pada hati saya, sama sekali tidak menemukannya. Saat ini, anda telah mendengar tentang seorang lelaki yang tidak memiliki hati.

Dia adalah seorang pemuda yang telah membaiah anda dan anda mengambil sumpah setia daripadanya. Apakah anda rela jika seorang tentera anda hidup tanpa hati? Apakah anda dapat membantu menghidupkan hatinya agar bergerak dan merasakan apa yang diucapkan oleh lisannya.

Ini adalah penyakit salah seorang tentera anda yang akan membuat anda sedih jika mengetahuinya. Oleh kerana itu, saya tidak menyebutkan namanya, hingga saya memberitahu anda akan kesembuhannya.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh....